Saturday 5 July 2014

Jangan kau biar dendam bermaharajalela di hati..




Kehadapan hatiku..

Apa khabar sihatkah kau..?

Aku tahu kau sedang sakit sekarang, kau sedih, kau rasa perit. Apabila kau imbas kenangan lalu yang ada cuma pahit. Tidak sedikitpun kau lihat secepis rasa manis. Mengapa? 

Mungkin kau sudah buta dengan rasa marah dan kecewa. Hingga kau tak mampu lagi melihat kenangan yang baik-baik.

Kehadapan hatiku..

Aku faham, siapa tak sakit bila di lukai. Lukanya mungkin sembuh namun parutnya masih ada bukan? Ya..Semua orang merasai begitu. 

Hatiku..

Kau pernah berkata
Kau sudah maafkan, cuma…kau tak dapat lupakan.

Tidakkah kau sedar..bahawa itu tanda orang yang masih berdendam. Bagaimana kau melabelkan dirimu seorang pemaaf? 

Mungkin kau rasa diri ini satu-satunya mangsa yang dianiaya di muka bumi ini. Kau lah mangsa dank au berhak menghukum. Kau berhak marah dan kau berhak bersedih. Meratapi dan mengenang nasib kau..

Tapi hati…

Nabi Muhammad s.a.w lebih teruk di aniaya berbanding sekalian manusia yang ada sekarang. Tetapi tidak pernah berdendam atau membalas dendam. Murahnya kemaafan Nabi Muhammad s.a.w. subhanallah..

Mungkin bagimu Nabi Muhammad s.a.w itu berhati mulia memang mudah dia memaafkan orang, berbanding dengan kau hanya manusia biasa.

Wahai hati masih belum sedarkah kau?..

Saban waktu..kau bersujud dan kau berdoa dihadapan Allah dan kau juga mengharap segala dosa di ampunkan, malah kau mengharap setiap doa di makbulkan serta perjalanan hidup dipermudahkan.

Tapi layakkah diri mu ini memohon ampun sedangkan ‘hati’ … kau kotor dengan dendam? Layakkah segala doa di makbul andai dirimu berkarat dengan rasa marah, ego setinggi gunung, dendam dan penuh benci?


Bagaimana Allah akan ampunkan segala dosa, andai kau sendiri kedekut memberi maaf kepada orang?

Allah pencipta dan pemilik sekalian alam  juga mengampuni segala dosa hambanya, tapi mengapa kau manusia biasa ,cuma hamba Allah tidak boleh memaafkan?

Duhai Hatiku..

Bagaimana agaknya rasa, bila kau mengharap kemaafkan seseorang, tapi kau tidak dapat kemaafkan itu dari dia? Bagaimana rasanya?
Kau pasti sedih teramat sangat..kan?

Ketahuilah wahai hatiku..

Kita cuma manusia biasa yang tak akan lari dari melakukan kesilapan. Kerana itu, kita perlu saling minta maaf dan memaafkan. Ingatlah kau juga banyak kesilapannya.

“ Hati…Kau masih mahu melayan sakit itu?

Dendam itu ibarat racun, racun yang merosak diri malah menghitamkan dirimu. Kerana terlalu melayani sakit..kau biar diri kau menjadi orang yang rugi.
Sedar lah.. 

Antara salah satu ketakwaan itu bukan sahaja menahan marah, malah memaafkan kesalahan orang. Bagaimana kau mahu jadi orang yang bertakwa jika kau tidak mampu memaafkan?Sedarlah dendam itu cuma buat kau merana dan hancur. Ibarat gali kubur sendiri.

Mampukah dendam itu membantu kau di kubur nanti?
Hati…

Kau selalu mengimpikan untuk menjadi antara hamba yang Allah sayang. Kau mahu berjaya di dunia dan akhirat. Maka buanglah dendam itu, tinggalkan ia jauh-jauh. Usah biar dendam mencemarimu.

Raihlah kasih Allah dengan memaafkan orang lain seikhlas hatimu Seperti Surah Ali-Imran

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; (134)
Surah Ali-Imran 133-134

Tulus dari dirimu sendiri 
ekasyawana..

Akhirnya hati hitam ini terkedu, menangis dalam diam. Aku mahu mencari cinta Allah. Tapi tak jumpa selama ini. Pasti kerana hati hitam penuh ego dan dendam, sukar memaafkan.
Ternyata Allah sayang dan kasih kepada mereka yang memaafkan orang lain. Hati aku yang sempit mula rasa lapang.. lega. 
 
Tak rugi pun memaafkan orang..dan tak rugi pun kita minta maaf kepada orang. Alhamdulillah dendam dan sakit hati telah aku lupakan. Segala yang pahit menghilang.

Bagi hati yang teramat terluka, diri memang nak maafkan orang. Tapi bila teringat perbuatan orang tu kepada kita..kita tak mampu nak maafkan dia pulak. Jadi bagaimana?


Ini tip yang aku boleh kongsi. Aku pun tengah belajar. 


-Ingat selalu..kita pun manusia biasa. Kita pun pernah buat salah terhadap orang lain. Jadi cuba fikir, bagaimana perasaan kita bila orang tak nak memaafkan kita.


-Yakin dalam hati bahawa ‘aku orang baik..aku boleh memaafkan kesalahan orang lain.’ 


-Semat dalam diri nak jadi antara hamba yang Allah sayang seperti mana yang di katakan dalam surah Ali Imran 133-134..maka jadilah orang yang pemaaf.


-Berdoa  semoga Allah lembutkan hati kita. Salah satu tanda nikmat Allah adalah lembut hati.


-Ingat perasaan dendam tu tak boleh bantu kita di kubur pun.

Sekian dariku. Entry untuk diri sendiri. Peringatan untuk diri yang sering lupa.
Maaf andai tersalah bicara. Mengores hati dan perasaan sesiapa.

No comments:

Post a Comment