Monday 24 August 2015

Taman Bunga Kau Dan Taman Bunga Aku




Eka seronok la hidup Eka tak ada masalah.
Eka tak apa la, keluarga Eka orang senang.
Eka tak apa la, Eka pandai.

Saat itu aku hanya mengukir senyuman. Apa lagi yang hendak aku lafazkan. Mereka hanya menilai seseorang itu daripada pandangan zahir sahaja. Dalam hati, aku mengucap Alhamdulillah dengan segala kesenangan dan nikmat yang Allah beri. Sebenarnya aku juga manusia biasa, aku juga tidak boleh lari dari dilanda ujian . Namun itulah pandangan mereka terhadapku. Teringat satu cerita..

Ada dua orang sahabat baik yang bernama Mawar dan Melur. Keduanya tinggal berdekatan sahaja dan sentiasa bersama-sama ke mana sahaja mereka pergi malah mereka juga ada hobi  yang sama iaitu menanam pokok bunga di halaman taman mini mereka.
Dari jauh Mawar melihat taman bunga milik Melur dan dia sering kali berasa cemburu akan taman Melur yang kelihatan cantik dan indah pada pandangan matanya. Mawar sentiasa berusaha memperindah taman bunganya secantik mungkin dengan pokok bunga pelbagai warna. Namun hatinya masih belum puas, taman bunga Melur masih tetap cantik daripada taman bunganya.
Akhirnya dia mahu ke rumah Melur. Hajat mawar cuma satu, dia mahu menukar taman bunganya dengan taman bunga Melur. Setujukah Melur dengan permintaanya.
Apabila Mawar sampai di rumah Melur dia menyampaikan hajatnya itu. Melur kehairanan lalu tersenyum.
“Mari ke taman aku.” Ajak Melur
Sebaik sahaja sampai di taman milik Melur, Mawar tergamam. Dia menoleh sekeliling taman itu. Ternyata bunga yang cantik dan berwarna-warni yang di lihat dari jauh cuma tumbuhan rumput yang tanam oleh Melur di dalam pasu.
“Mengapa kau mahukan tamanku sahabat sedangkan tamanmu itu jauh lebih cantik dengan bunga yang pelbagai?” Tanya Melur sambil menunding kea rah taman bunga sahabatnya.
Mawar menoleh kearah tamannya yang dapat di lihat dari taman bunga Melur. Ternyata taman bunganya jauh lebih cantik apabila dilihat dari jauh.

Pengajaran…

Kebahagiaan hidup ini terletak kepada pandangan diri sendiri bukan terletak kepada apa yang kita ada dan tiada, seandainya nilai hidup ini di nilaikan berdasarkan apa yang kita tiada dan apa yang orang ada, maka sampai bila-bila pun diri ini gagal menemui kebahagiaan dan keindahan dalam hidup.
Kita ada taman dengan pelbagai bunga yang cantik dan indah namun dari jauh kita lihat taman bunga orang lain lebih cantik. Sedangkan jika lihat dengan lebih dekat, taman bunga dia tidaklah seindah mana, malah ada lalang dan rumput tumbuh merata-rata. Jika ujian datang menduga diri ini dan ujian itu lebih berat daripada orang lain. Ingatlah hanya orang hebat di duga ujian yang hebat. Kita dipilih untuk melalui ujian berat ini. Allah ada dengan orang beriman dan bersabar serta orang yang ingat kepada dia.

Ketika seseorang itu ketawa tidak bermakna dia paling gembira di dunia. Tapi dialah manusia yang pernah merasai duka.
Ketika seseorang itu tersenyum tidak bermakna dia paling bahagia di dunia. Tapi dialah manusia yang pernah melalui keperitan.
Ketika seseorang itu kelihatan tenang tidak bermakna dia tidak diuji dengan apa-apa masalah. Tapi dialah manusia yang sedang bergelut dengan ujian.
Ketika seseorang itu tidak pernah menangis tidak bermakna dia tidak pernah bersedih. Tapi dialah manusia yang menangis tatkala manusia lain sedang lena di buai mimpi.
Jangan memandang seseorang dengan pandangan mata yang zahir sahaja.

No comments:

Post a Comment